03 Oktober 2009

RASIONALKAH CADANGAN PAPA?

CADANGAN Persatuan Pembantu Rumah Asing Malaysia (Papa) agar kerajaan mewajibkan majikan khususnya bukan Islam mengikuti kursus khas mengenai tanggungjawab terhadap hak pembantu rumah sebagai pekerja, sebelum mengambil pembantu rumah asing agak menarik untuk dikupas lanjut.

Presidennya, Datuk Raja Zulkeply Dahalan dipetik Berita Harian semalam sebagai berkata langkah itu penting bagi mengatasi masalah seperti rasa tidak puas hati pembantu rumah beragama Islam terhadap majikannya yang bukan Islam apabila mereka dilarang bersolat atau dipaksa memasak daging babi, sehingga terdorong kepada melakukan penderaan.

Ketika ini 80 peratus majikan yang menggunakan khidmat pembantu rumah dari Indonesia adalah bukan Islam. Namun secara kebetulan, dalam sisipan Sentral akhbar sama turut mermuatkan berita seorang amah warga Indonesia yang mengalami lebam di kelopak mata sebelah kanan (bukan sebelah kiri seperti yang dilaporkan) selepas dipercayai dipukul dengan objek keras oleh majikannya di rumah mereka di Serendah, Selangor.

Manisah Sarbini, 36, mendakwa dia kerap dibelasah oleh majikan dan anak perempuan mereka dengan bekas makanan dan kayu tanpa alasan munasabah. Selain ditengking dan dimarahi dengan kata-kata kesat hampir setiap hari, Manisah juga mendakwa dirinya hanya diberi makan sekali sehari, itupun hanya nasi basi bersama lauk pauk yang telah tersisa dan air paip.

Sepanjang empat tahun beliau bekerja dengan majikan sama, amah yang berstatus ibu tunggal itu hanya dibayar RM50 sebulan. Dalam tempoh 48 bulan lalu, Manisah cuma mampu mengirim RM600 saja kepada anak tunggalnya yang terpaksa ditinggalkan di kampung halaman di Lampung Barat, Indonesia.

Sebahagian besar hasil pendapatan Manisah lesap setelah dipotong oleh majikannya sebagai denda kerana kononnya prestasi kerja yang tidak memuaskan. Dalam temubual eksklusif dengan wartawan Berita Harian baru-baru ini, Manisah mengakui dirinya tidak sanggup hidup menderita lagi. Beliau mahu hidup bebas daripada terus diperlaku umpama hamba dan tiada harga diri.

Jiran depan rumah tempat Manisah bekerja dihuni sebuah keluarga berketurunan India. Dari merekalah Manisah kerap mendapat makanan bersih seperti roti dan biskut kering. Jiran rumah sebelah kanan majikannya pula adalah milik keluarga Cina. Menurut Manisah beliau telah banyak kali diberi makanan oleh mereka. Semua ini hanya berlaku ketika majikan dan anak majikannya tiada di rumah.

Kini, Manisah berada dalam jagaan pihak berkuasa. Laporan Polis telah dibuat pada Rabu lalu. Ketua Polis Daerah Hulu Selangor yang mengesahkan menerima aduan daripada mangsa memberi jaminan akan melakukan siasatan kes tersebut mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Namun selepas 48 jam atau setakat e-mel ini ditulis, difahamkan tiada sebarang tahanan oleh Polis terhadap majikan Manisah. Kejadian yang menimpa Manisah baru saja diketahui oleh Kedutaan Besar Indonesia di Kuala Lumpur dan Polis Republik Indonesia (PolRI).

Moral dari apa yang berlaku terhadap kes Manisah ini adalah walaupun beliau beragama Islam, haknya untuk hidup sebagai seorang Islam telah dinafikan oleh majikan yang juga beragama Islam dan berketurunan Melayu. Lebih parah lagi, majikan tersebut yang kerap dilihat mengerjakan solat berkaras tidak membenarkan Manisah melakukan amalan ritual sama iaitu solat.

Mungkin kes seperti ini dianggap terpencil dan amat jarang sekali berlaku oleh kebanyakan kita. Tapi janganlah kita terlalu yakin bahawa majikan Islam semestinya akan sentiasa menjaga sensitiviti dan hak pekerja mereka yang juga beragama Islam. Semoga kes Manisah akan menjadi iktibar buat semua kita agar sentiasa mengekalkan sifat perikemanusiaan dalam hubungan majikan-pekerja.


MEDIA MOGUL
Kuala Lumpur
Read More